Pelakon dan pengacara, Ain Edruce menerusi laman YouTube nya telah berkongsi satu khabar gembira yang mana dia mengesahkan dirinya kini sedang hamil empat bulan.
Rahsiakan Kehamilan Kerana Masih Awal
Menurut Ain, sebelum ini dia terpaksa mengunci mulut mengenai kehamilannya kerana usia kandungannya masih terlalu awal biarpun dihujani dengan pelbagai persoalan daripada peminat dan rakan terdekat.
“Alhamdulillah, saya mengandung. Sebelum ini ramai yang cakap nampak baby bump tetapi saya tak boleh cakap apa-apa sebab terlalu awal tetapi sekarang saya boleh kongsi dekat korang semua yang saya mengandung” katanya
Dedah pengacara Immortal Songs ini, dia mendapat tahu dirinya telah hamil setelah perasan akan keadaannya yang tidak normal seperti selalu sehinggalah terfikir untuk membeli alat pengesan kehamilan.
“Pada suatu hari saya perasan patutnya sudah datang bulan. Sebelum ini, saya tak pernah lewat dan mesti ‘on time’. Jadi saya fikir kenapa tidak beli alat pengesan kehamilan dan tiada siapa pun tahu saya beli. Hasilnya, ini yang terjadi (disahkan hamil)” kongsi Ain
Buat Kejutan
Menerusi video berdurasi 13.27 minit itu,Ain turut memberi kejutan buat suami tersayang, Amirul Hafiz Mustaffa dan ahli keluarga serta rakan terdekatnya mengenai kehamilannya itu. Rata-rata daripada mereka begitu terkejut dan teruja apabila mendapat tahu mereka bakal menerima kehadiran ‘orang baharu’.
“Suami dan saya tidak sabar nak beritahu kepada keluarga kami. Jadi kami buat keputusan untuk beritahu dahulu kepada kedua-dua ibu bapa kami dengan memberi kejutan ketika membawa mereka pergi makan”
“Mereka betul-betul gembira terutama mak dan ayah suami saya sebab ini merupakan cucu kedua mereka dan mak serta ayah saya juga gembira apatah lagi ini anak sulung saya dan suami” katanya lagi
Sebagai info, Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce,29 dan Amirul telah mendirikan rumah tangga pada 13 Disember yang lalu selepas enam bulan mengikat tali pertunangan.