Baru-baru ini, stesen televisyen Al-Hijrah dikecam ramai netizen berikutan menjemput seorang wanita yang dikenali sebagai Kak Long 7E menjadi tetamu rancangan terbitan mereka,Trending.
Terjadi Salah Faham
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Namanzee Harris tampil menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kontroversi tersebut. Menurut Namanzee, program Trending bersifat terbuka dengan mengundang sesiapa sahaja sebagai personaliti.
Namun, hanya kerana sekeping foto yang dimuatnaik di media sosial yang menunjukkan Kak Long atau nama sebenarnya Wan Noor Baizura diundang sebagai tetamu bersama beberapa panel yang lain telah mencetuskan salah faham dikalangan netizen dan tular di media sosial.
Beri Nasihat Kepada Kak Long
Jelas Namanzee, intipati program itu lebih ke arah mendidik dimana Kak Long telah diberikan nasihat serta tips untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab.
“Rancangan ini berbeza dengan program televisyen lain kerana kita mengangkat isu tular dan bagaimana seorang Muslim sepatutnya berinteraksi terhadap isu-isu tular. Kami melihat individu tersebut menzahirkan permohonan maaf secara umum.
“Jadi kami pula perlu membawakannya ke hadapan kerana sebagai matlamat program kita perlu melihat bagaimana orang Islam memberi reaksi kepada isu itu. Kami datangkan Ustazah Isfadiah untuk membicarakan dan pada rakaman yang tidak sempat kami siarkan memang apa yang berlaku adalah tazkirah daripada ustazah kepada individu itu. Apa yang salah, apa yang tidak patut dan apa yang perlu dilakukan.” kata Namanzee kepada Murai.my
Bagaimanapun, TV Al-Hijrah membuat keputusan untuk menangguhkan sementara waktu episod tersebut.
“Program itu kami tidak akan hentikan sebaliknya episod yang menampilkan individu itu sahaja ditangguhkan. Rancangan itu sendiri akan diteruskan dengan pengisian yang berbeza”
“Program Trending telah mengangkat begitu ramai unsung heroes. Kita pernah tunjuk episod petugas barisan hadapan, bomba dan ramai lagi. Tetapi ia tidak viral seperti isu ini. Kami berlapang dada dengan apa yang berlaku” katanya
Namanzee ditemui Murai.my di majlis pelancaran kempen Ramadan Syawal 1443H dan aplikasi terbaharu TV AlHijrah yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada Rabu. Terdahulu, Al-Hijrah tampil dengan sebuah kenyataan media menjelaskan isi kandungan program tersebut dan menafikan dakwaan mengangkat Kak Long sebagai seorang ikon dan mencari publisiti semata-mata.