Malam tadi (Selasa) rata-rata pawagam utama di tanah air telah mengumumkan penjualan tiket filem paling besar tahun ini, Avengers : EndGame selepas sekian lama peminat ternanti-nanti akan tarikh jualannya. Lebih mencetuskan fenomena, Malaysia merupakan antara negara terawal yang akan menayangkan filem ini pada 24 April berbanding Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang akan memulakan tayangan pada 26 April.
Habis Dijual Dalam Beberapa Jam
Sejurus itu, saat pengumuman tersebut dibuat, hasil carian kami pada pawagam-pawagam seperti MBO, TGV dan GSC Cinemas rata-rata tiket filem ini pada hari pertama ditayangkan telah habis dijual! Malah kebanyakan pawagam tiket-tiket tersebut turut ‘full house’ hanya dalam beberapa jam sahaja sebaik diumumkan.
Namun begitu, seperti tahun sebelum ini, kebanyakkannya juga akan membuka beberapa ‘hall’ memandangkan filem ini diklasifikasikan sebagai ‘box-office’. Tambahan pula, carian ini hanya meliputi pada hari pertama tayangan dibuka. Sumber terbaharu menyatakan bahawa tiket jualan awal filem secara keseluruhannya telah memecah rekod antarabangsa sebagai “first 24 hours” record dalam masa enam jam.
Durasi Avengers : EndGame Diumumkan
Dalam perkembangan lain, selain dari trailer terbaharu telah dipertontonkan, durasi EndGame turut diumumkan.
Menepati ramalan sebelum ini, pihak Marvel telah mengesahkan bahawa siri Avengers kali ini berdurasi selama 3 Jam 2 minit sekaligus menyaksikan Avengers : EndGame merupakan filem paling lama pernah ditayangkan dalam sejarah perfileman Marvel. Untuk anda yang bakal menyaksikan filem ini dalam masa beberapa minggu sahaja lagi, pastikan anda ‘bersiap sedia’ dahulu sebelum memasuki pawagam kerana kami pasti anda tidak akan mahu melepaskan setiap saat babak di dalam filem ini. Avengers Assemble!