Semalam, ramai yang terkejut apabila pelakon yang semakin mencipta nama, Hun Haqeem telah terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas terjatuh dari motorsikal yang ditunggangnya pada tengah malam Sabtu.
Alami Kecederaan Pada Tumit
Menerusi laporan Harian Metro, pelakon yang terkenal dengan watak Jekfer dalam drama bersiri Kampung People itu mengalami kecederaan yang serius di bahagian kedua-dua tumit dan perlu menjalani pembedahan secepat mungkin.
“Dia baru habis penggambaran sebahagian episod drama bersiri, Seindah Tujuh Warna Pelangi sekitar jam 8 malam tadi.
“Saya difahamkan dia kemudian main futsal dan kemalangan itu berlaku ketika Hun dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Dia menunggang motosikal namun saya tidak pasti kemalangan membabitkan kenderaan lain atau sebaliknya.
“Dia mengalami kecederaan agak serius di bahagian tumit kaki kanan dan disyaki kena ligamen.
“Dia perlu menjalani pembedahan secepat mungkin hari ini. Paling cepat masuk bilik pembedahan petang atau malam ini kerana Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sentiasa ada banyak kes,” kata pengurus produksi, Ef Hairee.
Selamat Jalani Pembedahan
Bagaimanapun menerusi carian Murai.my dalam perkongsian Hun di laman Instagram nya memberitahu dia telah selamat menjalani pembedahan dan akan keluar dari hospital pada tengahari ini.
Difahamkan, Hun perlu berehat dalam tempoh enam minggu sebelum kembali semula berlakon. Ketika ini, Hun terlibat dalam penggambaran drama Seindah Tujuh Warna Pelangi yang kini sedang ditayangkan di slot Akasia TV3 dan pihak produksi akan mencari inisiatif lain untuk meminda jalan ceritanya.