Baru-baru ini, nama pelakon dan penerbit terkenal Sheila Rusly hangat diperkatakan selepas lakonan Sheila sebagai Opah Aminah dalam drama Bukan Gadis Biasa menjadi kecaman gara-gara solekan ‘tua’ yang dikenakannya.
Umum Berehat
Terbaru, Sheila telah mengambil keputusan untuk berundur buat sementara waktu dalam bidang lakonan. Menerusi laporan MStar Online, Sheila akui keputusan itu dibuat kerana rasa kecewa terhadap orang dalam industri. Malah kerja kerasnya sebelum ini dalam menghasilkan sesebuah karya juga seolah-olah tidak mendapat penghargaan.
“Memang saya merajuk dengan industri sebab saya rasa sebagai anak seni, saya menggunakan platform sebagai penerbit memberi kelainan kepada industri tapi usaha saya orang pandang sambil lalu saja.
“Cerita-cerita bergenre biasa ini yang mereka rasa harus dihargai. Saya bila buat apa-apa benda bukan mengharapkan balasan tapi bila kita dah berikan full effort, tak dapat penghargaan mestilah kecewa.
Kembali Jika Terpanggil Untuk Muncul Semula
Biarpun begitu, Shela berkata dia percaya pada ketentuan-Nya dan sebagai manusia biasa, dia turut mempunyai rasa kecil hati dan kecewa.
Ketika ditanya tempoh ‘berehat’ nya, Sheila berkata buat masa ini dia tidak meletakkan sebarang jangka masa mahupun tempoh dan hanya akan kembali sekiranya terdapat naskhah yang membuatkan terpanggil untuk muncul semula.
“Saya hanya minta sedikit penghargaan supaya kerja keras saya rasa berbaloi. Itu saja. Dalam masa sama, saya percaya pada rezeki dan mungkin Allah kata belum rezeki.
“Saya memang nak berehat, bila saya cakap itu maknanya saya akan buat. saya bukan hanya cakap tapi tak buat. Ini bukan gimik dan bukan sekadar bercakap untuk dapatkan perhatian.
“Sekarang ini, saya tak kata saya sudah kembali berlakon. Drama Bukan Gadis Biasa, buat masa ini itu la drama terakhir saya berlakon sebelum saya berehat sekejap.
“Saya tak tahu berehat sampai bila tapi mungkin sampai saya dapat satu naskah yang terpanggil untuk saya berlakon semula.
“Insya-Allah saya akan kembali kalau watak itu mencabar saya sebagai seorang pelakon, tapi kalau watak biasa, bagi la kepada orang uyanh lebih memerlukan platform tersebut,” ujarnya seperti dilaporkan MStar Online
Pada November tahun lalu,suami Sheila yang juga pengarah terkenal Jinggo Azman mendedahkan bahawa isterinya itu ingin berehat buat sementara waktu daripada industri atas beberapa faktor dorongan.