Biarpun sekadar menyandang kedudukan tempat ketiga pada pertandingan Hero Remaja 2020, namun siapa sangka bakatnya dalam bidang lakonan ‘membuka mata’ beberapa pihak produksi.
Semakin Popular
Buktinya, sejurus sahaja tamat program realiti tersebut dia mendapat beberapa tawaran termasuklah membintangi sebuah filem televisyen (FTV) berjudul Frontliners yang akan disiarkan di Astro First Exclusive tidak lama lagi.
Biarpun sekadar pelakon pembantu, namun bagi Meerqeen atau nama sebenarnya Shameer Shauqeen Shaiful Izam,19 ianya adalah satu penghormatan buatnya untuk terbabit secara langsung dalam FTV yang didedikasi khas buat para ‘frontliners’ yang berkorban dan bertungkus lumus membendung wabak COVID-19 daripada terus menular di seluruh dunia khususnya buat Malaysia.
Jelas Meerqeen, sebaik sahaja mendapat tawaran tersebut dia akui agak terasa sedikit ‘berat’ untuk membintangi FTV ini apatah lagi bergandingan bersama pelakon-pelakon popular tanah air seperti Beto Kusyairi, Azhan Rani, Wan Maimunah dan ramai lagi. Namun, dia bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada mereka selain turut membuat kajian mengenai watak yang digalasnya.
“Bila saya dapat tawaran ini, saya akui berat sebenarnya tapi sangat teruja kerana seperti yang anda sedia maklum barisan pelakon memang agak ‘padu’ dan saya ingin tunjukkan kepada orang ramai yang saya pun boleh memegang watak ini” katanya kepada Murai.my
Nafi Guna Kabel
Dalam pada itu, Meerqeen menafikan bahawa dia menggunakan ‘kabel’ untuk mencipta nama di dalam industri kerana ada yang mendakwa dia dilihat lebih menonjol daripada kebanyakan finalis Hero Remaja 2020.
Tegas Meerqeen, dia tidak mendapatkan pertolongan daripada mana-mana pihak untuk mengambil jalan pintas dikenali dalam bidang lakonan dan hanya bersandarkan usaha kerasnya selama ini.
“Sebenarnya guna kabel semua itu, saya langsung tidak pernah sebab apa yang saya buat ini adalah kerana kerjaya saya. Jadi saya tidak ada mendapatkan pertolongan daripada sesiapa dan saya buat ini dengan usaha saya sendiri.
Bila ada dakwaan yang mengatakan saya guna kabel, saya akui agak terasa sebab saya buat semua ini dengan susah payah, titik peluh saya sendiri. Di mana saya berada sekarang bukanlah senang sebab 4 tahun juga untuk saya cuba di dalam industri ini” jelas anak saudara kepada penyanyi Safura ini.
Meerqeen ditemui Murai.my ketika di majlis pelancaran FTV Frontliners di Publika, Hartamas baru-baru ini.Naskhah Frontliner arahan Razif ‘Ajiboy’ Rashid ini diinspirasikan dari kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid- 19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini.