Biarpun menerima khabar gembira apabila berjaya terpilih sebagai salah seorang peserta Gegar Vaganza 7 (GV7), namun penyanyi Ashira terpaksa mengharungi dugaan apabila dia dihalau keluar dari rumah sewanya sehari selepas mendapat berita mengenai pemilihannya dalam program realiti itu.
Terkesan Dengan PKP
Menurut Ashira, kejadian tersebut terjadi selepas dia gagal membayar duit sewa rumah sebanyak RM1, 200 hampir enam bulan kerana begitu terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac lalu.
Sebelum ini, Ashira bergantung pada pendapatannya sebagai penyanyi di sebuah kelab malam namun kerana pelaksanaan PKP, dia hilang sumber pendapatan, dedah pelantun Di Ombak Resah ini, Ashira terpaksa menumpang sementara waktu di rumah kakaknya.
“Sejak PKP kehidupan saya tak berapa baik dan hilang punca pendapatan. Sebelum ini, saya menyanyi di sebuah kelab malam tapi sekarang kan tak dibenarkan buka sebab itu saya tak ada income.
“Saya ada cuba pelbagai cara untuk survive dengan menjual laksa dan tolong kawan berniaga secara online tapi nampak gayanya semua tak menjadi dan saya cuba benda lain juga, buat live di Bigo.
“Dapat la duit sikit untuk bayar bil elektrik dan air tapi masih tak lepas bayar sewa rumah. Setengah tahun juga saya tak mampu nak bayar. Kalau ada duit lebih pun saya boleh bayar dalam RM100 macam itu.
“Allah beri dugaan.Sehari selepas dapat berita saya layak masuk GV7, saya diminta keluar dari rumah itu dan hari ini (Selasa) merupakan hari terakhir saya perlu serahkan kunci,” katanya kepada Murai.my.
Menangis Mengenangkan Nasib
Akui Ashira, dia berasa sangat tertekan dan kadang-kala menangis mengenangkan nasib yang menimpanya.
“Saya betul-betul down, saya macam tak yakin boleh ke saya teruskan sebab saya rasa langsung tak ada apa-apa. Saya tak ada income, saya terpaksa berpisah dengan anak.
“Walaupun dekat, tapi mungkin saya tak boleh berjumpa dengannya selalu dengan keadaan saya macam ini. Saya tak drive kerana saya tak ada kereta. Sebelum ini saya hanya bergantung pada Grab untuk ke sana sini”
“Saya memang tertekan, kadang-kadang saya akan menangis dan mengadu pada Allah ‘Apakah kesalahan besar yang saya pernah buat dalam hidup sampai diuji sebegini”
“Ujian itu satu per satu menimpa saya” katanya sebak.
Bekas Suami Tolong Sedaya Upaya
Ashira yang sudah bercerai dengan suaminya sejak lima tahun lalu bagaimanapun bersyukur kerana bekas suaminya tidak mengabaikan nafkah anak mereka, Megat Shazril Haziq Hadi, 14 biarpun tahu pendapatan bekas suaminya yang merupakan seorang pemuzik turut terjejas.
“Dia masih lagi memberi nafkah dan dia memang banyak tolong. Dia pun bukan orang senang sebab dia pun ahli muzik, jadi benda sama yang jadi dekat saya jadi dekat dia juga. Tapi dia memang sentiasa ambil tahu pasal anak dia dan tolong sedaya upaya apa yang dia mampu” dedahnya lagi.
Ashira ditemui Murai.my ketika di sidang media memperkenalkan barisan peserta program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh yang membariskan 14 orang peserta di Envi Skydining, Aras 36, Menara Ta One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur pada petang Selasa.