Hanya kerana kelihatan semakin kacak, penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini dituduh melakukan pembedahan plastik untuk tampil sedemikian.
Hael Jawab Dakwaan
Menjawab dakwaan tersebut, Hael berkata dia hanya mampu tersenyum dan akui kelihatan berbeza berbanding dahulu.
“Saya hanya mampu tersenyum saja, tak tahu nak cakap macam mana”
“Apa boleh saya katakan, makin usia kita meningkat usia semakin kita pandai menjaga penampilan diri.” kata Hael kepada Murai.my
Jelas pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi ini, faktor umur antara sebab mengapa dia lebih mementingkan penampilan selain sering terikat dengan pelbagai komitmen sebagai seorang anak seni.
“Sebenarnya dulu mungkin saya tak pandai bab penampilan dan tak ada pasukan di belakang. Tetapi, Sekarang kerja-kerja saya diuruskan oleh mereka yang profesional mungkin itu sebabnya.
“Kalau dulu, saya pergi buat persembahan pun rambut sikat sendiri sekarang orang yang siapkan dan mengikut gaya terkini.” katanya
Penampilan Harus Seiring
Menurut Hael, penampilan seharusnya seiring dengan kerjaya dan turut mendedahkan mempunyai perbelanjaan tertentu yang diuruskan oleh pihak pengurusan bagi aspek tersebut.
“Kalau perbelanjaan yang sebenar saya tidak tahu sebab ia diuruskan oleh pihak pengurusan. Sebelum ini saya ingatkan sebagai seorang penyanyi hanya memerlukan suara tetapi bila saya masuk ke industri dan belajar daripada selebriti senior bagaimana mereka menjaga penampilan, saya rasa saya perlu mengambil langkah itu dan apa-apa sahaja yang melibatkan perwatakan menarik di hadapan kamera” katanya lagi
Hael ditemui Murai.my di majlis perasmian Festival Ramadan Selangor 2022 (FESTIRA’22) di Pusat membeli belah Shah Alam Convention Centre (SACC) pada Rabu. Dalam festival yang akan datang tersebut, bakal dimeriahkan dengan persembahan penyanyi seperti Haiza, Nomad, Syafiq Nasser, Syahmi Irfan, Aliff Iskandar dan Aufahanie.