Suria Duo X telah menyaksikan #teamAzlanXAraJohari menerusi finalis nya, Shazreen muncul sebagai juara edisi sulung program itu pada malam Jumaat lalu menerusi sebuah mini konsert yang diadakan di Dewan Kristal, TM Convention Central, Kuala Lumpur.
DJ Lin Terkilan
Biarpun konsert tersebut diadakan dengan jayanya, namun bagi Pengurus Kanan Suria FM, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 44 terbit rasa terkilan di hatinya kerana terpaksa membuat keputusan yang sukar di saat-saat akhir.
Menurut DJ Lin ketika ditemui Murai.my, biarpun negara masih lagi dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), namun pihak Suria FM sudah merangka perjalanan acara ini dengan penyertaan 10 orang dari setiap enam kelab peminat selebriti Suria Duo X yang terdiri daripada Aina Abdul, Ara Johari, Ezad Lazim, Lan Typewriter, Siti Sarah dan Syamel yang mana masih akan mengutamakan SOP.
Terpaksa Batalkan Penyertaan Peminat
Bagaimanapun, penyertaan daripada kelab peminat terpaksa dibatalkan memandangkan negara dikejutkan dengan peningkatan jumlah jangkitan wabak COVID-19 sekaligus mengundang kepada gelombang ketiga. Di kesempatan itu, pihak Suria FM ingin memohon maaf atas keputusan yang terpaksa dibuat tersebut bagi mengutamakan SOP yang lebih ketat di sana.
“Pada awalnya untuk dapatkan keterujaan acara ini, kita telah mengatur bersama enam orang penyanyi popular untuk membawa 10 orang peminat mereka untuk datang memeriahkan acara.
“Tetapi sejak beberapa hari yang lalu, kita dikejutkan dengan peningkatan kes COVID-19 yang diluar jangkaan. Jadi saya fikir untuk mengawal dan memudahkan perjalanan acara, kami mengambil keputusan untuk membatalkan penyertaaan penonton di kalangan kelab peminat.
” Saya minta maaf kepada semua kelab peminat artis yang sudah memberi nama dan teruja untuk turut serta bersama kami kerana kami terpaksa batalkan penyertaan anda di saat akhir.
“Saya akan mengambil tanggungjawab itu kerana kami ingin mengutamakan SOP” kata DJ Lin.
Terima Respon Positif
Biarpun dibuat dalam skala kecil tanpa penonton, DJ Lin meluahkan rasa syukur dan gembira kerana program seumpama ini mendapat respon yang cukup positif dan tidak menolak akan mengadakan musim kedua bagi tahun hadapan.
“Pada malam ini, kami di Suria.FM berjaya melakar sejarah kerana kami menerima banyak respon positif daripada peminat dan kami melihat program ini sebagai rujukan kepada pelanggan kami kelak. Manalah tahu kami akan Suria Duo X bagi musim kedua pada tahun hadapan dengan skala lebih besar?” jelasnya lagi.
Dalam malam finalis itu, Shazreen yang mendendangkan lagu Rampas nyanyian asal kumpulan Akim & The Majistret berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi Suria Duo X.
Manakala tempat kedua telah disandang oleh Murshid Nazri dari #teamEzadLazimXAinaAbdul manakala Danny Mierul mwakili #teamSyamelXSitiSarah) berada ditempat ketiga.
Masing-masing membawa pulang wang kemenangan RM3,000 dan RM2,000 serta trofi Suria Duo X.