Pelakon kacak, Zul Ariffin akhirnya ‘membuka mulut’ mengenai kontroversi video panas yang membabitkan dirinya baru-baru ini.
Mohon Maaf Secara Terbuka
Menerusi sebuah hantaran di Insta Story, Zul membuat sebuah permohonan maaf secara terbuka kepada mereka yang terkesan dengan isu tersebut.
“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua respon dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.
“Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuatnaik video berkenaan. Selepas ini saya akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuatnaik sebarang bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial,” tulisnya.
Menjengah ke hantaran terkini yang dimuatnaik Zul, ruangan komen terus dihujani dengan pelbagai kecaman daripada orang ramai yang marah dengan tindakannya.
TV3 Pandang Serius
Terdahulu, susur masa media sosial hangat memperkatakan mengenai klip video sedutan drama terbaru lakonan Zul dan pelakon baru Siti Hariesa berjudul Perempuan Itu yang memperlihatkan kedua-duanya melakukan aksi panas bagi tujuan promosi.
Difahamkan, drama tersebut bakal ditayangkan pada bulan Ramadan dan mendapat pelbagai kritikan dan teguran termasuk Menteri Agama, Senator Datuk Idris Ahmad. Susulan itu, pihak Murai.my turut menerima kenyataan media daripada TV3 selaku syarikat penyiar.
Dalam kenyataan itu, TV3 mereka memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video dalam petikan adegan daripada drama Perempuan Itu. Menyifatkan adegan yang dipaparkan tidak sesuai untuk disiarkan, ia juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen tersebut.
TV3 turut memberi peringatan kepada semua produksi dan para pelakon untuk menjadi lebih peka kepada tindak-tanduk yang dilakukan serta menjaga sensitiviti agama dan masyarakat.