Penyanyi, pelakon dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim atau lebih mesra disapa sebagai Sarimah menerusi laman Twitter mengajak peminatnya untuk berhenti sensasikan segala bentuk kecaman dan kebencian berkaitan isu peniaga burger yang tular baru-baru ini.
Seru Bantu Tularkan Perniagaan Burger
Menurut Sarimah, daripada terus menyebarkan kebencian mengenai situasi tersebut, sebaliknya dia menyeru orang ramai untuk menularkan perniagaan lelaki tersebut agar lebih maju pada masa hadapan.
“Ok dari kita mengutuk situasi dan orang lain lebih baik kita bantu viralkan business abang burger 50k tu supaya rezeki dia melimpah sampai 100k! Mana business dia, sebarkan. #lebihbaik #membantu #darimengutuk” tulis Sarimah
Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang peniaga burger di Kelantan dikenakan kompaun berjumlah RM50 ribu gara-gara menjalankan urusan perniagaan melebihi had masa yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu.
Gara-gara isu tersebut, warganet meluahkan rasa kecewa kerana tidak menyangka peniaga kecil seperti itu dikenakan jumlah kompaun yang besar .