Baru-baru ini timbul dakwaan melibatkan penyampai radio dan pengacara popular, Radin yang dikatakan terlalu memilih tawaran yang diberikan kepadanya.
Radin Tidak Pilih Tawaran
Menjawab dakwaan tersebut, Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, 31, tampil menjelaskan perihal sebenar. Menurut penyampai radio ERA ini, dia tidak pernah memilih setiap tawaran yang diberikan.
Sebaliknya, jejaka daripada Perak ini mementingkan soal kesesuaian masa dan jadual hariannya sebelum menerima sesuatu tawaran. Pendedahan teersebut sekaligus turut menjauhkan tafsiran bahawa Radin merupakan seorang yang tamak akan peluang diterima.
“Saya ada tugas hakiki sebagai penyampai Era jadi saya kena fikirkan itu sebelum berani mengambil komitmen lain.
“Kalau tawaran yang tidak bertembung pasti saya terima dengan hati terbuka, tapi kalau sampai perlu berada di luar lokasi itu memang saya mohon maaf saya tidak boleh lakukan,” jelas Radin
Mahu Kendalikan Acara Besar
Dalam pada itu, Radin sentiasa bersedia untuk menerima cabaran menerusi tawaran sama ada sebagai pengacara atau pelakon namun masih berpendirian untuk tidak terimanya semborono. Malah, dia turut menyimpan hasrat untuk menjadi pengacara program yang lebih besar termasuk di acara yang berprestij.
“Saya tak kisah asal bawa rezeki saya okay saja. Tapi pasti saya juga ada cita-cita dan impian mesti nak jadi pengacara untuk acara besar.
“Saya bersyukur bakat saya semakin dilihat dan saya yakin akan sampai rezeki untuk saya nanti,” katanya lagi
Dalam perkembangan lain, Radin yang dikenali ramai dengan sikap peramahnya juga dalam perancangan untuk menamatkan zaman solo. Menjelaskan perihal tersebut, anak ketiga daripada empat beradik ini akan berkongsinya pada umum apabila sudah bersedia serta pada masa yang sesuai. Sekadar info, Radin kini hangat bercinta dengan pramugari dikenali sebagai Azlina Idris.