Semalam tular di media sosial apabila terdapat laporan yang mengatakan bahawa seorang usahawan kosmetik terkenal telah bertindak kasar dengan memukul anak angkatnya yang berusia dua tahun.
Pukul Guna Kasut
Malah satu laporan polis juga telah dibuat oleh pembantu rumahnya mengenai kejadian yang berlaku pada 28 Februari. Dalam laporan tersebut, suspek dikatakan memukul muka kanak-kanak berusia dua tahun itu menggunakan tangan semasa mahu merakam gelagatnya menangis. Malah suspek turut memaksa pembantu rumahya itu untuk memukul kanak-kanak tersebut sebelum suspek memukul mangsa menggunakan kasut di badan serta mencubitnya.
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan rakaman keterangan daripada semua saksi termasuk suspek juga sudah diambil. Kertas siasatan berhubung kejadian itu dijangka siap dalam minggu ini dan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Netizen ‘Hentam’ Aliff Syukri
Dalam perkembangan lain, di media sosial turut tular mengenai salinan laporan polis yang tertera nama usahawan, Dato Seri Aliff Syukri.
Malah sedutan video yang menunjukkan kesan lebam pada anak angkatnya, Ameena turut menjadi perhatian ramai.
Sejurus selepas itu, Instagram Aliff mula dibanjiri dengan pelbagai komen kecaman netizen yang mahukan penjelasan berhubung isu ini.
Difahamkan ketika kejadian tersebut berlaku, isterinya Datin Seri Nur Shahida masih berada di kota suci Mekah bersama anak-anak mereka untuk menunaikan ibadat umrah. Sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Aliff berkenaan isu tersebut.