Program realiti bakat baharu Big Stage 2022 membuka tirai dengan membuat kejutan memperkenalkan jutawan kosmetik, Dato Seri Vida (DSV) sebagai presiden netizen.
Vida Mohon Maaf
Di awal pengenalan konsert, Vida mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kontroversi yang melibatkan dirinya dan penyanyi popular Anuar Zain baru-baru ini.
Selain itu, pembaharuan format kali ini turut memperkenalkan juri pedas dan juri juara untuk bersama-sama dengan dua lagi juri tetap, Dato Sri Siti Nurhaliza dan Ajai mengadili persembahan peserta-peserta Big Stage 2022.
Bagi minggu pertama, ratu dangdut, Mas Idayu diberi tanggungjawab sebagai juri pedas untuk mengkritik persembahan para peserta manakala tempat juri juara yang menjemput penyanyi yang pernah menjuarai program realiti terbitan Astro,didahului dengan juara Gegar Vaganza 8(GV8), Aliff Aziz.
Iqbal Penuhi Kriteria Peserta Big Stage
Bukan itu sahaja,Big Stage 2022 turut membuat sebuah lagi kejutan dengan mengumumkan usahawan sensasi dan penyanyi, Iqbal Zulkefli sebagai peserta mereka yang ke dua belas. Usai pengumuman tersebut, pelbagai reaksi telah diberikan oleh warganet termasuk mempertikaikan kredibiliti Iqbal sebagai seorang penyanyi.
Menjawab perihal tersebut, pihak produksi yang diwakili oleh Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata pemilihan Iqbal sebagai peserta yang ke dua belas selaras dengan kriteria yang ditetapkan mereka.
“Untuk kriteria peserta, Iqbal dah pun penuhi kriteria tersebut. Yang pertama mempunyai jumlah video nyanyian yang tinggi di media sosial iaitu sekurang-kurangnya 500 ribu jumlah tontonan. Seterusnya untuk Big Stage kali ini kita ada kepelbagaian para peserta. Kita ada peserta yang hanya bergantung kepada jumlah tontonan dan kita tahu Big Stage adalah platform untuk mereka tunjukkan bakat yang dimiliki.
“Kita juga mempunyai guru vokal yang professional untuk membimbing mereka dan kita harapkan mereka dapat membuktikan kemampuan masing-masing. Kita sudah sediakan platform dan kini terpulang kepada mereka untuk meneruskan agenda seterusnya” kata Norzeha kepada Murai.my
Dalam pada itu, Iqbal yang mekar dengan lagu Hujan menerusi sebuah wawancara bersama media tidak menolak untuk membuat keputusan menarik diri dari program itu. Bagi pihak produksi, ketika ini mereka tidak menerima sebarang perkhabaran mengenai keputusan dari Iqbal .
Namun, bagi pihak Astro sendiri keputusan peserta untuk menarik diri dari mana-mana program realiti terbitan mereka bukan sesuatu yang baharu. Ini kerana sebelum ini ada dikalangan peserta yang telah berbuat demikian atas faktor-faktor tertentu.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang berita mengenai peserta yang ingin menarik diri.
Ini adalah pertandingan dan seandainya ada peserta yang ingin menarik diri seperti sebelum ini yang pernah berlaku jadi kami tidak boleh halang” kata Norzeha lagi
Untuk rekod, muzik video Hujan nyanyian Iqbal telah mendapat sebanyak 2.1 juta tontonan sejak dimuatnaik pada November tahun lalu. Bagi konsert minggu pertama, Iqbal mendapat markah terendah sebanyak 28.8% manakala Aisha Retno selesa dengan kedudukan teratas dengan perolehan markah 84.4%