Sebelum ini, tular di media sosial kononnya pelakon dan pengacara Harris Annuar tidak mematuhi SOP serta turut berparti di sebuah hotel terkenal di Pulau Langkawi, Kedah selepas dia memaklumkan dirinya disahkan positif jangkitan wabak COVID-19 beberapa hari yang lalu.
Sentiasa Patuhi SOP
Menjawab spekulasi tersebut, pihak pengurusan Harris iaitu Absolut Management tampil mendedahkan perkara yang sebenar termasuklah beberapa lokasi yang dikunjunginya. Malah mereka turut bertegas bahawa artis naungan mereka itu sentiasa mematuhi SOP sepanjang bercuti di pulau terbabit.
“Pihak pengurusan ingin menyangkal bahawa ada spekulasi yang mengatakan Harris Annuar berpesta di Dash Hotel dan ia adalah tidak benar. Harris Annuar juga tidak pernah pergi ke Restoran Cili Kampung seperti yang diperkatakan”
“Sepanjang di Langkawi, Harris telah mengamalkan SOP dan memakai pelitup muka sepanjang masa serta mengimbas MySejahtera setiap kali ke tempat-tempat yang dilawati di Pulau Langkawi”
“Pihak pengurusan juga mengesahkan Harris tidak pernah pergi ke mana-mana pesta atau tempat sesak,” tulis kenyataan media tersebut
Dalam kenyataan tersebut juga, pihak Absolut Management menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat mengenainya dan memberikan ruang buat Harris untuk berehat.
Terdahulu, Harris dan rakan baiknya Tajuddin disahkan positif selepas pulang daripada bercuti di pulau peranginan terkenal itu.