Akui popularitinya semakin meningkat, Wann bersyukur kerana penangan Gegar Vaganza 2019 (GV2019) sedikit sebanyak membantu kemunculannya semula di dalam industri hiburan.
Tidak Pandang Komen Negatif
Bercakap mengenai kedudukannya di dalam rancangan realiti itu, Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah binti Meor Abdul Rashid dia sedia maklum mengenai ada sesetengah peminat menganggap dia sepatutnya tersingkir lebih awal.
Akui Wann dia tidak memandang segala komen negatif yang diterima kerana sudah lali dengan segala komen sejak dahulu lagi.
“Saya tak apa-apa. Komen-komen yang teruk pun saya sudah lali sebab dalam kerjaya ini saya sudah hampir 30 tahun jadi macam-macam komen saya dah lali. Kalaulah kata saya marah itu tandanya saya tak lama di dalam industri. Saya cuma buat yang terbaik”
Ketika ditanya mengenai sasaran untuk ke peringkat akhir, dedah Wann pada mulanya dia tidak terfikir untuk ke arah itu kerana hanya ingin kembali di dalam industri dan membuat persembahan di pentas-pentas besar seperti Gegar Vaganza kerana sudah lama tidak berbuat demikian.
Malah dia juga berasa pembabitannya di dalam GV adalah satu peluang dapat bertemu semula dengan rakan-rakan penyanyi terdahulu selain turut mengenali penyanyi lain dari era yang berbeza.
“Saya tak fikir ke arah itu (peringkat akhir) sebab saya fikir hanya mahu buat persembahan di pentas besar seperti GV. Saya dah lama tak menyanyi seperti ini. Saya tak rasa sebagus penyanyi lain, tak pernah dapat anugerah pun jadi saya hanya mencuba sahaja.
Jadi saya anggap ini sebagai satu platform dan dapat berkenalan dengan adik-adik penyanyi lain. Saya gembira, ada rezeki saya nak buat single. Kalau kata final ada enam orang, sayalah di kedudukan keenam itu” katanya sambil berseloroh
Tumpang Gembira Dengan Peniaga
Menjawab mengenai sesetengah peniaga di atas talian terutamanya perniagaan berasaskan tudung dan turban yang mengambil kesempatan menjual namanya, jelas Wann dia tidak kisah sekiranya mereka berbuat demikian.
Malah dia turut tumpang gembira kerana menganggap ianya satu peluang buat mereka untuk mepromosikan perniagaan dengan lebih maju.
Sebelum ini, terdapat sesetengah pihak mempersoalkan gaya turban yang dipakai oleh Wann, namun disebalik kecaman yang diterima kini ianya menjadi satu trend buat kaum wanita.
“Bestnya! Kalau itu untuk bisnes saya okay sahaja. Itu rezeki mereka. Nama saya disebut-sebut manalah tahu rezeki saya untuk dapat jemputan buat persembahan. Kalau dalam rezeki mereka mungkin ada rezeki saya”
Ketika ditanya mengenai minatnya untuk mengembangkan perniagaan berasaskan fesyen yang dipakainya, buat masa ini Wann menolak untuk berbuat demikian kerana ingin memfokuskan dalam bidang nyanyian.