Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada Murai.my sebentar tadi, pihak pengurusan Awesome TV mengambil keputusan untuk menggugurkan Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA daripada tugas pengacaraan bagi program realiti “MIC ON!” berkuatkuasa serta merta.
Awesome TV Tidak Kompromi Dengan Masalah Disiplin & Etika
Sehubungan dengan itu, pentas utama program tersebut yang akan berlangsung pada hari Jumaat ini akan dikendalikan secara solo oleh pengacara bersama sedia ada, Issey Fazlisham.
Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program ‘MIC ON!’ untuk musim ini dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terlibat.
Dalam kenyataan tersebut, pihak Awesome TV menjelaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang perihal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada di kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terlibat dengan program-program terbitan mereka.
“Pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian. Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut” kata kenyataan tersebut
Sempat Jadi Hos 5 Minggu
Untuk rekod, Diva AA sempat mengacarakan program tersebut selama 5 minggu bersama Issey. Program “MIC ON!” yang bersiaran pada setiap hari Jumaat jam 9.00 malam di saluran Awesome TV (Astro 123) atau MyTV (112) merupakan sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian komedi terbitan Awesome TV yang menampilkan tiga figura seni tersohor tanah air, Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Mas Idayu sebagai Juri Tetap.
Manakala Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro menggalas tanggungjawab selaku ‘Manager’ untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada 15 peserta yang dibahagikan kepad ketiga-tiga kumpulan pelawak itu.