Semalam, pelakon Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan atau lebih dikenali sebagai Mas Khan,26 telah dijatuhkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 12 bulan manakala, denda RM10,000 atau penjara 14 bulan untuk kesalahan kedua.
Mengaku Bersalah
Hukuman itu diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur menerusi Majistret Farah Nasihah Annuar, selepas pelakon Abang Long Fadil 2 itu menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kali ketiga kes kesalahan mencuri wallet mata wang kripto bernilai RM213,805 milik penerbit filem Datuk A Aida.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa mencuri wallet yang merupakan mata wang kripto milik Zaidah Awang, 50, atau dikenali sebagai A.Aida tanpa izin bernilai RM59,804.15 dan RM154,000.85 di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur, pada 5 pagi 7 Mac 2019.
Bakal Saman Ganti Rugi
Dalam pada itu, Aida bersyukur dengan keputusan tersebut dan mahu ianya dijadikan sebagai pengajaran kepada si pelaku atau sesiapa saja.
“Biar dia rasa!”
“Saya bersyukur penjenayah dijatuhkan hukuman. Semoga jadi pengajaran kepada orang lain juga supaya jangan mudah ambil kesempatan.
“Negara kita ada undang-undang. Jangan fikir dia boleh lari dan terlepas begitu saja. Terima kasih pada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya meyelesaikan kes kecurian ini,” katanya menerusi laporan HARIAN METRO.
Biarpun begitu, difahamkan penerbit itu akan membuat saman tuntutan ganti rugi kepada Mas tidak lama lagi dan sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes itu.
“Selepas ini saya akan buat saman sivil bagi menuntut ganti rugi. Sekarang ini saya dan pasukan peguam sedang buat kira-kira,” Tambahnya lagi
Terdahulu, Aida meluahkan rasa kecewa apabila hubungan baik dan kepercayaan yang diberikan dikhianati oleh Mas yang dianggapnya sebagai adik sendiri. Ketika itu, keluarga Mas ada meminta untuk menyelesaikan kes penipuan di luar mahkamah, namun Aida enggan berbuat demikian kerana mahu ianya diselesaikan mengikut lunas undang-undang supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.