Penyanyi yang terkenal dengan ketegasannya, Mas Idayu mengakui dirinya sedang bercinta dengan seorang jejaka yang juga merupakan penggiat industri seni.
Tidak Sangka Boleh Jatuh Cinta Lagi
Menurut penyanyi yang mesra disapa sebagai Mummy itu, dia tidak menyangka hatinya tertaut kepada jejaka itu malah mengukir senyum manis saat ketika ditanya mengenainya.
“Selama hampir lebih 15 tahun hidup sendiri, saya terkejut dan tidak menyangka akhirnya hati terbuka untuk mengenali seseorang.
“Perasaannya ibarat ketika mengenali lelaki pada zaman anak dara. Rasa menggigil untuk jawab soalan ini,” katanya kepada Murai.my
Dalam Proses Saling Mengenali
Mas Idayu bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi mengenainya dan akan berkongsi tatkala tiba masa yang sesuai.
“Selama ini, sebenarnya saya tutup pintu hati untuk menerima pasangan baru meski banyak lelaki yang cuba mendekati.
“Pernah juga ada lelaki muda yang cuba untuk rapat, namun sekiranya saya okey, anak pula sebaliknya.
“Sebenarnya, saya selalu berdoa agar dibukakan rezeki sebab bagi saya, sudah tiba masanya untuk berteman,” katanya.
Tambah Mas Idayu, dia tidak menyangka doa yang dipohon akhirnya dimakbulkan dipertemukan dengan seseorang yang bekerja dalam industri.
“Saya tak sangka dia hadir dalam hidup, walhal sebelum ini kami pernah beberapa kali bekerjasama.
“Tahun lalu ada orang yang usik saya dengannya, tapi kami mula rapat tahun ini. Apa yang boleh katakan, dia bukanlah dalam kalangan selebriti.
“Kami juga sudah keluar berjumpa empat kali dan setakat ini hubungan berjalan dengan baik. Cuma apa yang minta doakan agar yang baik-baik saja daripada semua, Insha-Allah,” katanya lagi.
Pelantun Cintaku 100% itu ditemui Murai.my pada sesi rakaman program Mic On yang disiarkan di Awesome TV di sini. Untuk rekod, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Aman Gaseka dan bercerai sekitar tahun 2006. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Ashiqah yang kini sudah berusia 25 tahun.