Penyanyi popular, Dato Hattan tampil memberikan teguran tegas terhadap pihak penyiaran terlibat untuk mempunyai rasa tanggungjawab mengangkat industri muzik ke tahap yang lebih tinggi dan baik.
“Nyanyi Senget Benget Macam Tu Boleh Masuk”-Dato Hattan
Menerusi video yang dimuatnaik di Instagram nya, teguran tersebut merujuk kepada sebuah program realiti televisyen, Big Stage 2022 yang mengumumkan usahawan sensasi,Iqbal Zulkefli sebagai peserta mereka yang ke-12 pada Ahad lalu. Meskipun tidak menyatakan mana-mana individu, namun berdasarkan teguran tersebut jelas ditujukan buat Iqbal yang dikecam ramai berikutan dia disifatkan sebagai individu yang tidak mempunyai bakat nyanyian.
“Semalam saya tahu banyak orang boring tengok satu program realiti tv semalam kan, nyanyi senget benget macam tu pun boleh masuk. Kalau ya pun nak dapat rating, tak payah la sampai macam tu sekali. Banyak lagi cara lain.
“Takkanlah pihak produksi, produser tak tengok masa rehearsal macam mana performance mereka. Anda tahu peserta ni tak boleh menyanyi. Kenapa kau panggil jugak? Tujuan apa kau nak buat, nak rating.”- tegas Hattan
Memalukan Industri
Hattan atau nama penuhnya Mohd Shukri Shahabudin tidak menafikan gimik kejutan yang diberikan oleh program realiti itu meninggalkan impak yang besar dari segi pemasaran. Namun, ia sangat memalukan terutama kepada industri hiburan.
“Ini yang macam saya cakap itu hari. Dalam program tu ada peserta dari Indonesia. Kalau orang Indonesia tengok macam ni kita punya kualiti.
Kesian 11 orang yang beria-ria bersaing. Hanya kerana ada sejuta dua juta pengikut, oh sudah dikira layak? Walaupun persembahan standard begitu, punya sampah.”- katanya lagi
Terkilan Tokti Jadi Juri Program
Tambah Hattan, turut meluahkan rasa terkilan kerana program realiti terkenal itu telah diadili oleh penyanyi terkenal negara, Dato Sri Siti Nurhaliza yang seharusnya mempunyai standard yang lebih baik.
“Datuk Siti kat situ jadi juri. Macam gini ke standard Datuk Siti. Come on la, Dia pun tak sampai hati nak cakap. Kita pun boleh nampak la”- kata Hattan
Di akhir video, Hattan menyeru agar pihak penyiaran terlibat untuk berfikir secara waras sebelum melakukan sebarang keputusan dalam melakukan sebuah program.