Perkahwinan pasangan selebriti terkenal yang berlangsung di Genting Highlands baru-baru ini telah didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Polis Buka Kertas Siasatan
Memetik laporan Harian Metro, Polis telah membuka kertas siasatan susulan tular video majlis perkahwinan pasangan tersebut yang dimuat naik di laman Facebook. Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, polis menerima laporan berkaitan video berdurasi 41 saat itu pada 10.30 malam tadi (Isnin) yang memamparkan perkahwinan pasangan itu di sebuah villa di Genting Highlands.
Ada Tetamu Yang Tidak Pakai Pelitup Muka & Tiada Penjarakan Fizikal
Difahamkan, hasil siasatan pihak polis, majlis itu berlangsung pada 8.30 malam, 15 Disember lalu dan terdapat tetamu yang tidak memakai pelitup muka dan serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
“Keadaan itu dilihat melanggar SOP PPN Fasa 4 dan polis sudah membuka kertas siasatan berikutan penularan insiden itu,” kata Zaiham dalam sebuah kenyataan
Susulan itu, polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan itu serta kes disiasat mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.
“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini serta dinasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” kata Zaiham lagi seperti dilaporkan portal akhbar tersebut