Susulan daripada kes seorang Youtuber terkenal ditahan pada minggu lalu atas dakwaan mencabul seorang wanita yang juga pelakon, difahamkan lelaki berusia 22 tahun itu telah pun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Siasatan Masih Dijalankan
Memetik laporan Harian Metro, Youtuber berasal dari Kelantan itu sebelum ini direman tiga hari sebelum dibebaskan, namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak polis dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris turut mengesahkan perkara itu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang Youtuber ditahan polis dipercayai mencabul seorang wanita dalam kejadian di Kubang Kerian awal Ogos lalu. Lelaki itu ditahan selepas tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, pada 10 Disember lalu. Difahamkan, kejadian berlaku selepas sesi penggambaran sebuah drama Youtube awal Ogos lalu di sebuah inap desa di Kubang Kerian, Kelantan.
Suspek pada mulanya mengajak mangsa untuk berlakon dalam sebuah drama untuk disiarkan di laman YouTube sebelum diajak oleh suspek untuk tidur di inap desa itu dengan alasan sesi penggambaran masih belum tamat dan perlu diteruskan keesokan harinya.
Lebih mengejutkan, suspek didakwa memasuki bilik mangsa sebelum mencium, memeluk serta merabanya. Dikhabarkan suspek turut melakukan onani yang seterusnya membuatkan mangsa memilih untuk membuat laporan polis.