Selebriti dan usahawan Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa sekali lagi menjadi kontroversi di media sosial.
Selipar ‘Muslim Friendly’ Dikritik
Belum pun reda isu rentas negeri, terbaru kolaborasi Neelofa bersama jenama selipar terkenal, Fipper menjadi bualan hangat dikalangan netizen. Ini berikutan pelancaran selipar terbaharu hasil kolaborasi kedua-dua syarikat itu memperlihatkan ciri-ciri selipar yang dikatakan sebagai ‘muslim-friendly'(mesra Muslim).
Difahamkan, ramai yang mempersoalkan spesifikasi selipar tersebut yang dikatakan ‘Mesra Muslim’namun ia dilihat sama sahaja dengan selipar lain yang ada di pasaran. Malah dengan harga jualan RM79.90 sepasang, selipar tersebut turut disifatkan mahal oleh sesetengah individu.
Fipper Mohon Maaf
Sejurus selepas itu, pihak Fipper menerusi kenyataan media tampil menjelaskan mengenai spesifikasi dan terma ‘Mesra Muslim’ tersebut. Jelas jenama itu, terma tersebut diguna pakai kerana ingin menyatakan ia sesuai untuk kegunaan Muslimah yang memakai stokin.Biarpun begitu, pihak Fipper turut memohon maaf atas isu yang terjadi.
Sekadar info, pada Isnin lalu, syarikat aplikasi muslim yang diterajui Neelofa, The Noor telah bekerjasama dengan Fippers untuk melancarkan selipar ‘Mesra Muslim’, Slip On Fipper x TheNoor.