Pereka fesyen terkenal, Jimmy Couture secara rasminya telah meletakkan titik noktah dalam dunia peragaan ratu cantik setelah kecewa dengan isu yang terjadi membabitkan dirinya dan Miss Grand Malaysia 2021, Lishalliny Kanaran.
Jimmy Sudah Buat Keputusan
Menerusi sebuah kenyataan yang dimuatnaik oleh Jimmy di laman Instagram nya pada Selasa, Jimmy membuat keputusan untuk tidak lagi menaja mahupun membuat sebarang busana untuk mana-mana pertandingan ratu cantik selepas ini.
“Selamat Tinggal Dunia Pageant Malaysia..semoga berjaya..saya sudah selesao.. ini bukan drama tetapi ini sinetron..Tidak akan ada lagi..Terima kasih PL Malaysia yang sokong Jimmy selama ini.. yang masih mahu berhubung dengan Jimmy, Jimmy terima dengan hati yang terbuka..” tulis Jimmy
Bagaimanapun, pereka fesyen itu berkata dia sedia untuk membantu mereka yang ikhlas menyokongnya selama ini selain menegaskan tidak lagi akan menyokong pertandingan seumpama itu. Dalam perkembangan berkaitan, Jimmy menantikan penjelasan daripada pihak yang terlibat mengenai isu yang terjadi.
“Bermula hari ini tak ada lagi ya aku nak sokong dunia pageant Malaysia..Aku kecewa..terima kasih untuk PL yang memahami keadaan aku
“Untuk page yang hentam aku? Aku sikit tak terkesan. Dulu kau juga yang memuji…untuk ratu yang betul-betul ikhlas..mungkin aku akan bantu..Tapi sekadar bantu. Untuk aku sokong lagi mungkin tidak..mungkin ada pereka fesyen yang lebih memerlukan ratu-ratu ini” katanya lagi
Ramai Beri Semangat Buat Jimmy
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya termasuk penggiat industri fesyen menitipkan kata-kata semangat buat Jimmy. Malah, ada diantaranya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas jasa dan rekaan yang menaikkan nama Malaysia di pentas dunia. Selain itu, mereka turut berharap agar Jimmy terus berkarya menghasilkan busana-busana yang menarik.
Pada Isnin, Murai.my melaporkan Jimmy Couture meluahkan rasa berang dan kecewa berikutan Miss Grand Malaysia 2021 itu telah menolak busana rekaannya di saat-saat akhir. Susulan itu,Lishalliny atau lebih dikenali sebagai Lisha tampil menjelaskan perihal sebenar.
Menurutnya, dia terlebih dahulu mempunyai pereka fesyen tersendiri yang sudah sekian lama bekerjasama. Namun, tidak menyangka akan turut menerima rekaan daripada Jimmy. Susulan daripada isu penolakan busana tersebut, Lisha berkata keputusan tersebut bukan bersifat peribadi malah ia hasil sebulat suara bersama.
“Semalam kami ada sesi latihan terakhir termasuk gaun petang. Ada dua pereka fesyen iaitu Jimmy Couture dan salah satunya merupakan pereka fesyen yang sudah lama bekerjasama dengan saya, CiumxCium.
“Ada seseorang yang telah menabur janji pada Jimmy bahawa saya akan memakai gaun rekaannya pada sesi preliminary dan finale nanti.
“Padahal, saya sudah ada pereka fesyen yang saya nak dan siapkan apa yang saya mahu pakai untuk kedua-dua pusingan itu.
“Sejak dari awal, saya tak pernah bercakap atau meminta sebarang gaun untuk dipakai pada pertandingan nanti dan tiada sebarang bukti pun menyatakan saya meminta gaun rekaannya, sebab saya tak minta pun,” jelas Lisha
Untuk rekod, pada hari ini Lisha akan ke Thailand bagi menyertai acara kemuncak Miss Grand International 2021.