Pelawak dan pelakon Harith Iskander berkata meskipun sudah bercerai dia tetap menjaga hubungan baik dengan bekas isterinya, Dr Jazemine Lim demi ketiga-tiga anak mereka.
Memetik HibGlam, Harith berkata dia dan Jazemine tidak pernah kekok untuk bekerjasama sebaliknya orang luar saja yang pelik melihat mereka masih menjalin hubungan baik.
“Kami masih pergi bercuti bersama. Kalau sunyi saya boleh telefon bekas isteri. Cuma orang lain sahaja yang rasa pelik bila melihat kami masih berbaik meski sudah bercerai .
“Kehidupan kami selepas bercerai masih lagi sama, cuma kami perlu mengambil langkah baharu dan cuba belajar berjalan sekali lagi.
“Itu bukan perkara baharu buat saya kerana saya juga pernah melalui pengalaman tidak mempunyai pasangan sebelum berkahwin, “ katanya.
Dalam pada itu, Harith berkata anak-anak menerima keputusan perceraian mereka dengan baik dan sudah menjelaskan mengapa dia bersama bekas isteri perlu hadir ke mahkamah.
“Penerimaan anak-anak sama sahaja kerana mereka sudah melihat berita perceraian itu dalam media sosial. Lagipun sejak awal lagi kami sudah jelaskan kepada mereka kenapa perlu ke mahkamah dan ada liputan media.
“Sebelum ini pun mereka sudah terdedah dengan situasi ada peminat datang untuk bergambar bersama ketika kami bercuti. Mereka faham ini adalah dunia ayah dan ibu mereka. Tapi kalau di rumah kami biasa sahaja,” katanya.
SUMBER: HibGlam