Orang ramai mula bimbang, filem JOKER akan memberi inspirasi kepada penjenayah dan mencetuskan aksi tembakan rambang. Pengarahnya, Todd Phillips akhirnya buka mulut mengenai perkara ini.
Seperti mana yang diketahui, kontroversi filem JOKER muncul selepas siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) menemui kumpulan radikal yang dipanggil Incels di media sosial. Kumpulan ini mendakwa telah mengidolakan JOKER, dan merancang untuk membuat tembakan rambang pada hari pertama tayangan JOKER pada 4 Oktober kelak.
Penemuan itu juga membuat orang ramai mengimbau kembali kejadian tembakan rambang di sebuah panggung wayang bernama Aurora di Colorado di mana pada saat itu filem The Dark Knight Rises ditayangkan pada tahun 2012. Hal ini membuatkan filem JOKER dianggap boleh mencetuskan perbuatan jenayah pada hari tayangan kelak.
Dipetik dari Screen Rant, Phillips berkata tanpa memandang remeh kejadian penembakan di Aurora 7 tahun yang lalu, dakwaan filem JOKER itu akan memberi inspirasi kepada penjenayah dan aksi tembakan rambang sememangnya tidak masuk akal.
“Penembakan itu sememangnya satu perkara yang sangat terkutuk. Tetapi, anda tidak boleh menyalahkan filem untuk kejadian itu.
“Hanya kerana terdapat kes tembakan di pawagam, ia tidak bermakna pelakunya melakukan itu kerana ia telah diilhamkan oleh filem itu,” kata Phillips.
Selain itu, Phillips kemudian membandingkan filem yang dibuat olehnya dengan filem-filem tindakan lain seperti John Wick yang juga sangat sarat dengan keganasan dan unsur-unsur balas dendam.
“Lihat saja John Wick. Filem ini menceritakan kisah seorang lelaki yang membunuh beratus-ratus orang, dan semua penonton bertepuk tangan ketika melihatnya. Mengapa Joker yang dijadikan inspirasi? “Saya tidak faham,” kata Phillips.