Komposer terkenal, Aubrey Suwito menerusi akaun Twitter miliknya memberi pendapat terhadap konsep program realiti televisyen (TV) yang cuba mengetengahkan pelbagai lagu kepada penyanyi-penyanyi yang menyertainya untuk kelihatan sebagai penyanyi yang serba boleh.
Akan Jejaskan Imej Penyanyi
Menurut Aubrey, tindakan sedemikian bukan sahaja akan membuatkan penonton keliru malah dalam masa akan menjejaskan imej penyanyi-penyanyi yang terlibat. Namun begitu, katanya lagi, tidak dinafikan ada diantara penyanyi tersebut mampu membawa lagu pelbagai genre dengan baik.
“Penerbit program realiti nyanyian TV Malaysia gemar ‘menguji’ para peserta dengan semua jenis lagu kepada mereka, kononnya ‘artist versatile’ la tu. Saya rasa ia akan mengelirukan penonton, dan ia akan menjejaskan imej artis tersebut untuk jangka masa yang panjang.
“Namakan SATU nama besar artis yang ‘versatile’! Ya mungkin ada diantara mereka mampu lakukan pelbagai genre dengan baik, tetapi apa yang saya tahu secara fakta nya, mereka akan menolak genre yang tidak bersesuaian dengan mereka;
“Adakah benar, serba boleh itu sesuatu yang penting?” soal Aubrey
Harus Diadili Dengan Bijak
Dalam pada itu, Aubrey turut memberi contoh bagaimana seorang penyanyi wanita diberi lagu penyanyi lelaki yang agresif dan dipertikaikan kemampuan penyanyi wanita itu yang tidak kelihatan ‘cukup lelaki’ menyanyikannya. Bagaimanapun, jelas Aubrey dia menyifatkan tidak salah buat produksi tampil dengan idea memberikan lagu yang pelbagai kepada para peserta sebagai sebuah hiburan namun ia harus diadili oleh juri dengan bijak dan tepat.
“Dan jika anda benar-benar perlu memberikan lagu-lagu tersebut kepada mereka untuk hiburan, juri perlu menjadi bijak dan memberikan komen tepat. Sebagai contoh, bagaimana anda boleh berikan penyanyi wanita lagu lelaki yang agresif dan kemudian menyifatkannya tidak ‘cukup lelaki’?”soalnya lagi
Di kesempatan itu, Aubrey memberi pandangan secara peribadi dan sebagai pesanan buat dirinya dengan mendedahkan sama sekali tidak akan mengadili sebuah lagu yang dinyanyikan semula dengan versi yang asal. Jelasnya tujuan ia dibuat sedemikian adalah bagi memberikan kelainan kepada lagu itu dan menjadi kreatif.
“Secara peribadi, saya tidak akan mengadili sebuah lagu ‘cover’ yang diberi nafas baru dan bandingkannya dengan yang asal. Tujuan utama lagu itu dibuat semula, terutama jika anda bukan penyanyi asal adalah kerana ingin melihat penyanyi itu tukarkannya. Itulah muzik. Itulah kreatif” kongsi Aubrey
Sekadar info, setakat artikel ini ditulis bebenang ciapan itu kini telah mendapat 2 ribu ulang kicau serta disukai oleh hampir 5 ribu pengguna laman Twitter.