Industri seni pada Khamis dikejutkan dengan khabar berita mengejutkan mengenai Datuk Seri Eizlan Yusof dan Dr Ahmad Idham yang digugurkan daripada jawatan masing-masing di Kementerian Luar Negeri.
Kontrak Ditamatkan
Memetik laporan Sinar Plus, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan kontrak Eizlan selaku Perunding Kreatif dan Ahmad Idham sebagai Setiausaha Kebudayaan telah ditamatkan serta merta.
Menurut Saifuddin,kontrak setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi turut ditamatkan. Bagaimanapun, Saifuddin enggan mengulas mengenai penamatan kontrak kedua-dua selebriti itu.
“Saya tiada sebarang komen mengenai perkara ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Daily.
Eizlan & Ahmad Idham Bakal Bertanding Dalam PRU 15?
Dalam perkembangan lain,sumber terdekat dengan kementerian itu berkata kedua-dua selebriti tersebut dipercayai akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bawah tiket Bersatu.
“Mereka mempunyai aspirasi politik yang tinggi dan berharap mendapat sokongan daripada menteri berkenaan, yang juga pengerusi Perikatan Nasional Pahang. Namun begitu, ia tidak disambut baik oleh ahli parti kerana kedua-duanya tidak mempunyai kekuatan dan pengaruh kuat dalam politik”
Tambah sumber, sokongan peminat dan populariti tidak memadai untuk membolehkan mereka bertanding berikutan terdapat lebih ramai calon yang layak. Saifuddin bagaimanapun tidak menolak Ahmad Idham dan Eizlan boleh ditawarkan bertanding di bawah tiket parti lain.
Untuk rekod, pada 1 November tahun lalu, Ahmad Idham dan Eizlan dilantik untuk menyertai Wisma Putra bagi membantu objektif membangunkan Diplomasi Budaya Malaysia dia bawah Kerangka Luar Malaysia.
Ketika lantikan Ahmad Idham dan Eizlan sudah dibuat, Saifuddin berkata beliau terpaksa menggunakan sumber sedia ada kerana kementeriannya tidak memperuntukkan bajet bagi memulakan diplomasi budaya. Kedua-duanya juga tidak dibayar gaji yang tinggi berbanding kedudukan mereka sebelum ini.