Isu pensyarah wanita yang menghina seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan memperlekehkan golongan B40 mendapat reaksi dari pelbagai pihak termasuklah peguam Nurul Hafidzah Hassan yang tampil menitipkan nasihat buat para netizen.
Jangan Cepat Menghukum
Melalui hantaran di Instagram, Hafidzah meminta orang ramai agar tidak cepat menghukum di atas situasi yang sedang hangat diperdebatkan di media sosial dan belajar untuk sentiasa mempunyai dua cerita yang menyokong versi masing-masing.
“Zaman sekarang ni, semua jadi viral. Kadang salah orang. Kadang salah kita. Apapun, jangan cepat menghukum. Tak kisahlah di sebelah mana kita sokong. Belajarlah yang sentiasa ada dua cerita yang menyokong versi masing-masing.”-Tegur Hafidzah
Mereka Tidak Tahu Apa Yang Sebenarnya Berlaku
Tambahnya, hal ini disebabkan mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku sebenarnya sudah pasti semuanya mempunyai alasan yang tersendiri malah bergantung kepada minda mereka untuk mempercayai versi yang mana.
“Sebab kita pun tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Mengapa kata-kata itu dilemparkan. Mengapa pelajar itu tiada laptop. Mengapa itu mengapa ini. Pasti semuanya ada alasan tersendiri.
Dan sama ada kita percaya atau tidak, ia bergantung kepada keterbukaan minda kita untuk mempercayai versi yang mana.”-Hafidzah
Di akhir hantarannya, peguam ini turut menitipkan pesanan buat netizen agar menjadi orang yang bijak dan bertanggungjawab menggunakan media sosial. Malah, netizen juga boleh membuat andaian sendiri namun biarkan ia terhenti di minda mereka sahaja kerana ia tiada manfaat untuk dikongsikan dan tiada mudarat yang akan berlaku kepada orang lain.