Umum mengetahui isu babak ‘panas’ yang dilakonkan oleh pelakon kacak Zul Ariffin dan Siti Hariesa telah mendapat reaksi dari pelbagai pihak termasuklah Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bakal memanggil produksi dan pelakon terlibat.
Ia susulan babak tersebut dikatakan bercanggah dengan tuntutan agama dan budaya hidup masyarakat di negara ini.
“Budaya Itu Tidak Sepatutnya Dibawa Masuk Ke Negara Ini”
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyatakan bahawa pihaknya akan turut mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi membincangkan isu tersebut dengan lebih lanjut.
“Cuma dari sudut panduan agama (Islam) budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa masuk ke negara ini yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan budaya Timur”- katanya
Terdahulu, nama Zul menjadi tumpuan selepas berkongsi sebuah trailer drama berjudul Perempuan Itu. Dalam video tersebut, kelihatan Zul sedang mendukung seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik, Siti Hariesa dan aksi mereka juga dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk ditayangkan apatah lagi di dalam bulan Ramadhan kelak.