Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihak Hospital Putrajaya telah membuat laporan polis terhadap dua selebriti, Dayangku Intan dan Azwan Ali atas penularan dua video yang telah menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta para pegawai perubatan dalam mengendalikan wabak COVID-19.
Intan Dakwa Terima Layanan Kurang Memuaskan
Terdahulu, Intan sebelum ini telah memuatnaik sebuah video yang mana dia mengalami gejala yang hampir sama dengan pesakit COVID-19 seperti demam, sakit kepala, tekak serta badan. Khuatir akan keadaan tersebut, pelantun Berpaut Pada Dahan Cinta ini segera ke Hospital Putrajaya bagi menjalani pemeriksaan. Namun, dakwa Intan dia mendapat layanan yang kurang memuaskan sebaik berada di sana.
Diva AA Maki Hamun
Susulan daripada itu, Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA turut mengulas kembali video tersebut menerusi sebuah rakaman video darinya yang dimuatnaik di laman Twitter. Difahamkan, ulasan yang dibuat oleh Azwan mengandungi beberapa perkataan kesat yang petugas kesihatan yang menjalankan tugas. Hal ini dijelaskan oleh Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, orang awam seharusnya lebih peka dengan keadaan semasa wabak COVID-19 dan setiap petugas kesihatan telah mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan ditetapkan sepanjang mengendalikan wabak itu.
“Para petugas keletihan dan terpaksa mengenepikan ahli keluarga masing-masing demi tugas yang bahaya ini.
“Penularan ini telah memberi tekanan emosi kepada para petugas sedangkan sokongan moral dan semangat yang harus diberikan, dan bukannya kata cacian dan kesat seperti ini,” katanya.
Dr Nora’i berkata laporan polis itu dibuat bagi mendapat tindakan sewajarnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap mereka yang tidak menghormati tugas anggota paramedik.