Pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam sekali lagi berhadapan dengan detik cemas apabila dua orang pembantu rumahnya mengalami gejala sesak nafas yang teruk berikutan turut disahkan positif COVID-19.
Rebecca Khuatir Tiada Ambulans Tersedia
Menerusi hantaran video yang dimuatnaik Rebecca di laman Instagram pada Rabu, kelihatan pelakon ini menghubungi talian kecemasan 999 sebelum disambungkan pada sebuah hospital. Namun, jawapan yang diterima ternyata mengejutkan kerana pihak hospital telah memaklumkan bahawa ketika itu tiada perkhidmatan ambulans disediakan berikutan kesemuanya sedang menjalankan operasi menyelamat.
Susulan itu, Rebecca terpaksa meminta tolong mana-mana pengikut di Instagram, yang sudi membawa pembantu rumahnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Sedih dengan jawapan hospital yang di berikan. Dah Call 999 dan 2 kali mummy Becca call dia sambungkan kepada Operator Hospital Ampang yang mungkin wanita ini pun tengah stress”
“Mummy record untuk menunjukkan satu Malaysia. Kita di gelombang yang sangat teruk ni. So siapa boleh datang tolong ambil pembantu mummy yang sedang sesak nafas sekarang ini?”
“Tolong hospital pun dah tak ada ambulance,pembantu saya susah bernafas! Saya Takut”
“tolong la,mummy sendiri tak boleh keluar sebab mummy sendiri Covid 19 positive juga..dan teruk juga ni sedang berlawan sakit..” tulisnya
Pengikut Rebecca Bantu Bawa Pembantu Rumah Ke Hospital
Dalam pada itu, menjengah ke Insta-story , kelihatan seorang wanita yang dikenali Mas datang ke rumah nya untuk membantu membawa pembantu rumah Rebecca. Biarpun saling tidak mengenali, namun Rebecca berasa terharu kerana masih ada insan yang sanggup merisikokan nyawa sendiri untuk membantunya.
Terdahulu, Rebecca memaklumkan suaminya, Datuk Norazam Sulaiman mengalami sesak nafas sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital dan disahkan berada di tahap lima akibat virus Covid-19. Ketika itu, Rebecca turut panik kerana telah menghubungi hampir 20 hospital swasta namun tiada hospital yang mampu menerima pesakit lagi berikutan telah penuh.
Namun, Rebecca bersyukur kerana akhirnya Norazam berjaya mendapatkan rawatan oksigen di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Swasta (PKRCS) di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Sebelum ini, industri digemparkan dengan khabar berita mengenai Rebecca sekeluarga yang disahkan positif wabak berkenaan.