Berazam untuk bangkit semula, pelakon yang kini bergelar penyanyi, Fathia Latiff mengharapkan agar tahun 2020 memberikan lembaran baharu buatnya apatah lagi untuk membuat kemunculan semula di dalam industri hiburan.
Belajar Teknik Nyanyian
Akui kontroversi yang lalu banyak memberi pengajaran buatnya, Fathia yang kini muncul dengan single terbaharu, Jika Aku Tahu berkata ‘kehilangan’ nya buat seketika sebelum ini adalah peluang untuk mengenal dirinya semula selain turut belajar mengenai selok belok nyanyian yang sudah lama diidam-idamkannya.
“Sejak saya kurang menerima tawaran untuk berlakon atas apa yang terjadi sebelum ini, saya ingin cuba meneroka sesuatu yang baru. Jadi saya mula berlatih untuk menyanyi dan mula belajar vokal daripada penyanyi berpengalaman seperti Bob Yusof. Sepanjang itu juga, saya mencari pendapatan menerusi jualan tudung jenama saya sendiri dan beberapa pakaian terpakai”
Selesa Berambut Pendek
Sejak membuat keputusan untuk tidak lagi berhijab, Fathia lebih selesa untuk menggayakan imej berambut pendek dan menjadi dirinya sendiri. Malah ada sesetengah daripada netizen turut menggelarkannya sebagai ‘Miley Cyrus Malaysia’ ekoran imej dan gaya hidup Fathia saling tidak ubah seperti selebriti Hollywood itu.
Tidak menolak imejnya persis pelantun ‘Don’t Call Me Angel’ jelas Fathia dia sememangnya mengagumi Miley kerana penyanyi itu punyai visi dan matlamat hidup sendiri.
“Saya mungkin ke arah seperti Miley Cyrus. Saya tak rasa dia meroyan tetapi berbakat dengan gayanya yang tersendiri. Macam saya, imej inilah diri sebenar saya dan selesa dengannya. Kalau untuk nyanyian, saya memang sengaja berambut pendek untuk tampil dengan imej sendiri dan bukanlah kerana tekanan dan sebaliknya. Saya memang nak berambut pendek”
Fathia ditemui Murai.my di sidang media pelancaran single keduanya di pejabat Indigital Music Metropolitan Square, Damansara Perdana, Petaling Jaya pada petang Khamis.