Terdahulu, filem animasi ketiga tempatan pada tahun ini terbitan Primeworks Studios dan WAU Animations, Ejen Ali: The Movie membuka tirai tayangan dengan kutipan yang cukup membanggakan yang mana mendapat RM1.86 juta kutipan pada hari pertama.
13 Juta Dalam Seminggu
Menyusuli kutipan tersebut, dengan seminggu tayangan Ejen Ali terus unggul apabila berjaya mencatat kutipan lebih dari RM13 juta sejak ditayangkan pada 28 November 2019 yang lalu.
Filem ini bukan sahaja meraih kutipan tertinggi dan mendominasi carta GSC Top 10 Movies selama 4 hari berturut-turut bahkan ia menjadi pilihan utama di kalangan penggemar filem.
Tangga Ke-13 Kutipan Filem Tertinggi Sepanjang Zaman
Ditayangkan khas sempena musim cuti persekolahan di Malaysia, filem ini menerima pelbagai komen dan ulasan yang positif dari pengkritik filem serta orang ramai.
Sebagai rekod, melihatkan pada pencapaian terkini Ejen Ali filem itu menduduki tangga ke-13 merampas kedudukan filem KL Special Force sebelum ini dalam senarai kutipan filem tertinggi sepanjang zaman.
Sinopsis Ejen Ali : The Movie
Mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.
Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System).
Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo,gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baru ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.
Pada saat itu, dia didatangi oleh individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.