Susulan daripada kes Hospital Putrajaya membuat laporan polis terhadap dua selebriti Dayangku Intan dan Azwan Ali, terbaru Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA telah membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ambil Iktibar
Permohonan maaf itu dibuat Azwan menerusi laman Twitter nya selepas video yang dimuatnaiknya sebelum ini dikatakan telah menyinggung dan memperlekehkan tugas para petugas Hospital Putrajaya ekoran daripada video pendedahan Dayangku Intan selepas dia mendakwa menerima layanan kurang memuaskan di sana.
Akui akan kata-katanya yang mungkin membuatkan ramai pihak terguris hati, Azwan berkata dengan rendah diri ingin memohon maaf serta mengambil iktibar atas apa yang berlaku.
“Assalamualaikum, saya nak ambil kesempatan nak mohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan mulut saya, dah memang begitu kaedahnya.
“Mohon maaf terbuka kepada pihak Hospital Putrajaya khasnya doktor dan pengurusannya kerana kandungan perutusan khas saya telah menjadi begitu panas dan mencetuskan kontroversi hingga ada pihak tertekan diganggu emosi dan sebagainya, mohon maaf.
“Sudah tentu saya kutip setiap hikmah yang berlaku daripada kejadian yang tidak disangka ini, buang yang keruh ambil yang jernih”
Ingin Sedekahkan Rendang
Dalam kesempatan itu, Azwan turut berbesar hati untuk memasak rendang yang diusahakannya selama ini untuk disedekahkan buat pihak pengurusan hospital berkenaan sekiranya berkesempatan selain mengharapkan permohonan maafnya itu diterima.
“Kalau ada rezeki masak rendang cef Diva AA dan sedekahkan kepada pengurusan yang tersinggung dengan kata-kata saya, mohon maaf kita hidup ni tak lama,”
“Semoga maaf saya diterima Hospital Putrajaya,”
Terdahulu, pihak Hospital Putrajaya telah membuat laporan polis terhadap dua selebriti, Dayangku Intan dan Azwan Ali atas penularan dua video yang telah menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta para pegawai perubatan dalam mengendalikan wabak COVID-19.