Selepas didenda sebanyak RM2,000 di atas kesalahan memberikan keterangan dan bukti palsu dalam laporan polis yang dibuatnya sebelum ini, semalam pelakon Dato Farid Kamil telah dijatuhkan hukuman penjara berkuat kuasa serta merta.
Dipenjara 9 Bulan Serta Merta
Perintah tersebut telah dibuat Majistret Nor Ariffin Hisham di Mahkamah Majistret Petaling Jaya yang telah menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan bulan kepada Farid Kamil selepas dia didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol pada Januari tahun lalu.
Menurut sumber, keputusan itu dibuat selepas Farid memilih untuk berdiam diri selain prosiding yang seharusnya dijalankan adalah sesi pembelaan diri. Malah, mahkamah juga tidak membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan Farid akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Netizen Simpati
Menerusi carian kami di laman Instagram Farid, rata-rata netizen mula membanjiri ruangan komen di posting terkini pelakon itu. Biarpun terdapat kecaman, namun kebanyakan daripada mereka berasa simpati kerana hukuman tersebut berlaku pada bulan ramadan dan akan berlanjutan sehingga Aidilfitri tidak lama lagi.
Malah mereka turut mengenangkan nasib keluarga Farid yang akan beraya tanpa sisinya. Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan THC yang juga dadah ditemui pada ganja di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 4.30 petang, 11 Januari 2018. Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.