Peserta Big Stage 2022, Danial Chuer memandang positif dengan komen-komen yang diberikan oleh juri tetap, Dato Sri Siti Nurhaliza dan juri pedas, Datuk Syafinaz Selamat usai membuat persembahan lagu Gila nyanyian asal Kaka Azraff, Noki dan Loca B.
Danial Ambil Segala Nasihat
Menerusi sebuah kenyataan yang dikongsi di Insta-story pada Isnin, Danial mengambil segala nasihat dan teguran untuk memperbaiki persembahannya pada masa akan datang selain berterima kasih kepada mereka yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih atas sokongan dan dorongan yang diberikan. Saya ambil setiap nasihat dan teguran sebagai cabaran untuk meneruskan perjuangan saya. Terima kasih juga untuk semua yang tidak pernah jemu menasihati saya dari dulu lagi. Sayang anda semua. Semoga kata-kata yang baik itu kembali lagi menjadi kebaikan buat anda semua.” – tulis Danial
Peminat Tidak Puas Hati
Terdahulu dalam konsert minggu keempat, Syafinaz berseloroh mengenai perwatakan Danial yang berjalan seperti model antarabangsa, Bella Hadid. Tambah Siti yang bersetuju dengan komen tersebut, Danial perlu tampak lebih maskulin untuk persembahannya akan datang.
Susulan itu, segelintir peminat menyifatkan komen tersebut tidak menjaga sensitiviti dan perasaan peserta apatah lagi ketika bersiaran langsung.
Untuk rekod, persembahan Danial mendapat kedudukan ketiga dengan peratusan markah sebanyak 80.2% dibelakang Elica Paujin yang mendapat 85.8%.