Sejak beberapa hari yang lalu, nama pendakwah muda dan penyanyi Da’i Syed hangat diperkatakan selepas dia didakwa kononnya telah merogol seorang gadis apabila terdapat seorang netizen mendedahkan perkara itu di media sosial.
Tampil Beri Kenyataan
Susulan daripada itu, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Jamalullail, 25 telah membuat laporan polis berkenaan tuduhan tersebut yang mana dia mendakwa menjadi mangsa fitnah dan sama sekali tidak mengenali kedua-dua individu tersebut termasuklah yang dikatakan menjadi mangsa rogolnya.
Malah Da’i Syed turut tampil dengan kenyataan rasmi menjelaskan mengenai dakwaan tersebut termasuklah teguran secara terbuka yang dibuat oleh bapa nya Syed Mohammad Shaiful Jamalullail di laman Facebook.
Lantik Peguam
Menurut pendakwah itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh netizen tersebut sama sekali tidak benar dan bersifat melampau. Bagi membersihkan nama baiknya semula, Da’i Syed telah melantik peguam bagi mengendalikan kes ini dan menuntut pihak yang terlibat untuk membuat permohonan maaf secara bertulis sebelum dikongsikan kepada umum. Tambahnya lagi, dia juga akan meneruskan tuntutan saman terhadap mereka.
Terima Nasihat Bapa
Dalam pada itu,Da’i Syed turut menjelaskan mengenai kenyataan bapanya yang menegur secara terbuka.Jelas pelantun Ya Agmal Eyoun ini, isu hubungan mereka sekeluarga adalah bersifat peribadi dan enggan menjelaskan lebih lanjut.
Namun begitu, dedah Da’i Syed ibu dan bapanya telah berpisah pada tahun 2017 sebelum bapanya itu berpindah ke Cairo,Mesir. Akui hubungan mereka tidak begitu baik sejak tahun 2016 kerana tidak bersetuju dengannya untuk sertai program realiti Da’i , sebagai seorang anak dia menerima nasihat tersebut atas dasar hormat.