Pengarah terkenal, Michael Ang berkongsi semula hantaran yang telah dibuat oleh pelakon veteran terkenal, Fauziah Nawi yang menegur sikap angkuh sesetengah penggiat industri kreatif yang dipercayai enggan menerima vaksin namun bertindak mendedahkan secara terbuka masih boleh menjalani penggambaran.
Fauziah Titip Pesanan
Menurut Fauziah, dia hormati akan pendirian sesetengah pihak yang enggan divaksin namun pesannya pendirian itu haruslah disimpan secara peribadi tanpa perlu mendedahkannya secara terbuka. Ini kerana, menurut seniwati itu ramai penggiat industri menjalani Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat kerana ingin mencari rezeki.
Namun, sikap sesetengah golongan antivaksin itu hanya akan membuatkan kebenaran kelonggaran industri kreatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada Selasa berisiko untuk ditarik balik.
“Sekarang dah ramai mula mendapat tawaran dan kerja dengan SOP yang sangat ketat. PM macam nak mati nak dapat dapatkan kebenaran itu. Semua orang ikut SOP, kena vaksin, kena swab test dah habis shooting kena swab test lagi sebelum balik.
“Ramai lagi yang belum dapat kerja. Ramai lagi yang tengah seksa hidup ini. Tolonglah. Siapa yang tak nak vaksin its up to you, its your choice. Itu hak individu, hak asasi manusia. Tapi janganlah berlagak, sombong. Tak ada siapa nak jealous dengan you all shooting lah.
“Memang kita tahu ini rezeki Allah tapi boleh tak jangan cakap? Diam-diam sudahlah kenapa perlu buat macam ini? Tak baiklah macam ini. Selfish you so blood* arrogant” tegas Fauziah
Tidak Kenal Siapa Yang Dimaksudkan
Dalam pada itu, Michael menyelar tindakan tersebut yang turut disifatkannya sebagai angkuh dan punca industri kreatif akan ditutup semula.
“Selfish,Arrogant and Idiot
“Salam semua. Wahai manusia luar sana dengar la nasihat @fauziahnawi Kerajaan baru bagi kelonggaran untuk Anak seni mencari rezeki Tapi dah ada pelakon dan produser buat hal. Tolong la jangan sebab keangkuhan kau orang satu industry kena tutup balik” tegur Michael
Bagaimanapun, jelas Michael orang ramai tidak perlu bertanyakan kepadanya mengenai gerangan penggiat industri yang dimaksudkannya kerana dia secara peribadi turut tidak mengetahuinya. Namun begitu, pengarah ini merayu agar mereka yang terlibat kelak dapat mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Tak payah tanya I siapakah dia orang sebab I pun tak tahu siapa pelakon dan producer itu. love you all and be safe and be vaccinated Kalau belum. Anyway KERAJAAN bagi shooting pada yang dah VACCINATED. So please la ikut rules dan jangan sebab kau orang satu industri kena tutup balik” pesannya
Pada Selasa, Perdana Menteri menerusi sebuah kenyataan menyatakan semua penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok (9 September 2021).