Ketika ini, nama penyanyi Usop menjadi sebutan ramai apabila kekal konsisten dalam membuat persembahan di pertandingan realiti Big Stage 2020.
Ramai Yang Suka Dengan Usop
Disebalik persembahannya yang memukau, rata-rata warganet dan tidak terkecuali beberapa selebriti popular tanah air seperti Dato Sri Siti Nurhaliza, Scha Al-Yahya dan ramai lagi begitu menyenangi perwatakannya bersahaja dan sentiasa merendah diri biarpun akui tidak berapa fasih di dalam Bahasa Inggeris.
Akui Kurang Fasih
Namun begitu, terdapat dakwaan daripada segelintir warganet yang mendakwa bahawa perwatakannya itu seolah-olah ‘dibuat-buat’ bagi meraih perhatian orang ramai.Menjelaskan isu tersebut, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd. Noor menafikan bahawa dia sengaja meraih perhatian orang ramai kerana akui itu adalah sikapnya sejak dahulu lagi.
Malah Usop juga mendedahkan kepada Murai.my bahawa dia sememangnya kurang fasih dalam Bahasa Inggeris sejak dari bangku sekolah lagi dan hanya sekadar mendapat gred ‘E’ dalam subjek tersebut.
“English saya ‘E’. Saya memang nak belajar Bahasa Inggeris. Saya bukannya tak faham sangat, bolehlah faham sikit-sikit. Mungkin belum rezeki saya ketika belajar dan rezeki di bidang nyanyian sebab ini minat saya sejak kecil lagi.
Mula-mula dahulu, tok wan saya bawa saya pergi menyanyi nasyid. Sekarang ini baru orang nampak bakat saya, kalau dia masih ada,mesti gembira sebab tok wan saya sudah tiada dan dia yang banyak sokong saya dalam bidang nyanyian” katanya.
Biarpun begitu, menurut pelantun ‘Selamanya’ ini, dia mempunyai perancangan untuk mendapatkan kelas bimbingan Bahasa Inggeris selepas ini sekiranya berkelapangan sejurus tamat program ini kelak.
Usop ditemui Murai.my sejurus tamat program Big Stage bagi minggu ketiga di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada malam Ahad. Dalam minggu itu, Usop mengungguli tangga teratas manakala penyanyi Amir Hasan terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada pentas itu apabila menjadi peserta kedua yang tersingkir selepas Hanie Soraya.