Menerusi sebuah kenyataan kepada pihak Murai.my, syarikat yang menghasilkan dan memasarkan produk air boba berasaskan madu lebah iaitu Bubblebee Sdn Bhd telah mengumumkan penamatan serta merta usahasama rakan kongsi mereka di empat buah cawangan.
Ambil Kira Reputasi Syarikat
Keputusan itu telah dibuat oleh Dato’ Ismail bin Abdul Rahman selaku Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee Sdn Bhd selepas mengambil kira akan faktor reputasi syarikat itu sejak kebelakangan ini sedikit tercalar apabila rakan kongsi mereka disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan sebuah kegiatan yang telah menjejaskan reputasi Bubblebee.
“Kami sedar, KEbelakangan ini tular berita mengenai rakan usahasama kami yang disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan kegiatan yang telah menjejaskan reputasi Bubblebee. Hal ini turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah kami telah dipanggil bagi membantu siasatan”
“Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kesalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas , siasatan ke atas rakan usahasama ini telah mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali,” katanya.
Tutup Sementara Waktu
Berikutan itu juga, pihak Bubblebee turut mengumumkan penutupan sementara empat cawangan mereka iaitu di Bubblebee Ampang, Bubblebee Senawang, Bubblebee Sentul, dan Bubblebee Sungai Buloh bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat mereka sehingga diumumkan kelak. Untuk rekod, Bubblebee mempunyai 17 cawangan di seluruh negara. 11 cawangan merupakan milik penuh Bubblebee bersama Shuib Sepahtu dan Siti Sarah manakala enam cawangan lagi dibuka secara usahasama.