Menerusi sebuah kenyataan yang dikirimkan kepada pihak Murai.my, syarikat yang menghasilkan dan memasarkan produk air boba berasaskan madu lebah, Bubblebee Sdn Bhd telah membuat permohonan maaf kepada tiga pengarah mereka yang terlibat secara usahasama membuka beberapa cawangan syarikat ini.
Tidak Terlibat Dalam Kegiatan Tidak Sihat
Bubblebee yang mempunyai 18 cawangan di seluruh negara memiliki secara penuh 12 cawangan itu manakala selebihnya dibuka secara usaha sama.
Salah satu usahasama tersebut melibatkan usahawan vape terkemuka Mohamad Hafizzi iaitu pengasas House of Vape bersama pasangannya Nikruasma Nik Ruzi atau lebih dikenali di Instagram sebagai @babyanamoi serta Azman Arshad dari Taikun Vape.
“Ketiga-tiga individu ini bersama pengarah-pengarah kami telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan satu siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa baru-baru ini”
“Berdasarkan penjelasan yang telah diberikan oleh mereka, kesemua mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.Mengikut maklumat yang diterima siasatan lanjut oleh pihak berkuasa ke atas suspek yang disyaki juga sedang berlangsung,” kata Pengarah Urusan Bubblebee, Dato Ismail dalam kenyataannya hari ini.
Mohon Maaf, Akan Dibuka Semula
Sehubungan dengan itu, pihak syarikat memohon maaf kepada mereka kerana tindakan nekad yang telah dilakukan sebelum ini untuk menamatkan perjanjian usahasama bagi empat cawangan berikut; Bubblebee Ampang, Bubblebee Senawang, Bubblebee Sentul, dan Bubblebee Sungai Buloh. Syarikat ini juga ingin memohon kepada semua pihak untuk tidak lagi membuat sebarang spekulasi terhadap mereka.
“Bagi mengakhiri kemelut ini, kami telah mencapai penyelesaian baik bersama dengan Hafizzi beserta Nikruasma dan Azman untuk menamatkan usahasama bagi keempat-empat cawangan Bubblebee tersebut”
“Penamatan bersama berdasarkan persetujuan baik ini berkuatkuasa serta-merta. Kesemua cawangan di atas juga telah ditutup sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee. Pihak syarikat memohon maaf khasnya kepada Hafizzi, Nikruasma dan Azman juga kepada semua pelanggan secara am yang terkesan akibat penutupan sementara keempat-empat cawangan tersebut,” tambah Ismail lagi.
Menganggap apa yang berlaku agak pahit untuk ditelan bagi kedua-dua belah pihak tetapi ia terpaksa dilakukan kerana pihak syarikat percaya nilai jenama amat penting dalam sesebuah perniagaan dan keputusan penyelesaian baik bersama ini diambil bagi mengekalkan kemandirian jenama Bubblebee untuk jangka masa panjang.
“Perlu saya tekankan, bahawa kelangsungan ini lebih penting berbanding mana-mana individu dalam syarikat mahupun rakan usahasama dalam memenuhi kehendak pelanggan”
“Keputusan penyelesaian baik bersama ini juga diambil oleh mereka untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan teras mereka. Selamat berjaya saya ucapkan. Jika ada rezeki pasti ada peluang kerjasama lain pada masa akan datang bersama mereka,” jelasnya lagi.
Difahamkan, pembukaan semula keempat-empat cawangan ini akan bermula pada 23 November ini selepas proses pengambilalihan selesai.