Kontroversi melibatkan bekas penyanyi nasyid dan komposer terkenal yang ditahan kerana menanam pokok ganja dalam rumah sebelum ini ternyata mengejutkan ramai pihak.
Mungkin Dapatkan Benih Secara Atas Talian
Susulan itu, polis tidak menolak suspek berusia 47 tahun itu mendapatkan bekalan benih secara dalam talian. Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan suspek .
“Polis masih lagi menjalankan siasatan termasuk kemungkinan suspek membeli bekalan itu secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi agensi berita itu
Menurut Mohamad Fakhrudin, pihaknya masih dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. Sebelum ini, polis mendedahkan suspek dipercayai menanam pokok ganja di dalam unit kondominium didiaminya untuk kegunaan sendiri, sejak dua bulan lalu.
Lebih 10 Tahun Jadi Penagih
Ketika serbuan di kondominium di Damansara di sini, pada Khamis, polis turut merampas 17 pasu pokok ganja selain ketulan mampat ganja seberat 214 gram dianggarkan bernilai RM10,700.
Berdasarkan siasatan awal, suspek sudah lebih 10 tahun menjadi penagih aktif dan dipercayai menggunakan media sosial bagi mempelajari selok-belok memproses dadah tersebut.