Baru-baru ini rancangan realiti terbaharu, Vokal Mania sekali lagi mencetuskan kontroversinya apabla salah seorang peserta, Aufahanie membuat persembahan yang kedengaran sedikit sumbang dan terkucil sekaligus mendapat kecaman ramai di media sosial.
Akui Lakukan Kesilapan
Bagi Aufa atau nama sebenarnya Nur Aufahanie Mokhtar, 17, dia akui persembahannya itu sememangnya layak dikecam kerana gagal membuat persembahan dengan baik. Malah, Aufa turut mendedahkan terdapat masalah teknikal ketika itu sekaligus membuatkan dia berasa terlalu panik ketika membuat persembahan di hadapan juri dan para idol.
“Sebenarnya malam itu ada masalah teknikal yang mana saya ada pakai alat bantuan pendengaran dan secara tiba-tiba suara saya tenggelam dengan arrangement yang sangat kuat. Jadi saya nyanyi ketika itu seperti berlawan dengan arrangement yang disediakan”
“Ini merupakan pertama kali saya membuat persembahan dalam pertandingan di atas pentas yang besar jadi bila jadi masalah seperti ini saya tidak pandai untuk kawal dan jadi panik dan gugup yang sangat teruk” katanya kepada Murai.my
Mahu Perbaiki Kesilapan
Tidak mudah melatah dengan komen pedas daripada netizen, sebaliknya Aufa berazam untuk memperbaiki kelemahannya pada masa akan datang apatah lagi sudah membuat kemunculan khas menerusi single penyanyi baharu Syahmi Irfan berjudul Mungkir.
“Lepas habis persembahan malam itu, saya ada berjumpa dengan Indah dan Aina Abdul. Mereka pesan banyak yang saya perlu belajar lagi seperti pergi kelas vokal dan belajar kawal gemuruh sebab kalau nak jadi penyanyi dan naik atas pentas, nak atau tak nak kita kena buang perasaan itu. Saya ambil pesanan itu sebab saya akui masih tidak pandai untuk mengawal perasaan gemuruh” katanya lagi.
Untuk rekod, sebelum ini Aufa terlebih dahulu mencuri perhatian apabila muncul sebagai peserta I Can See Your Voice (ICSYV) sebagai seorang penyanyi. Dalam Vokal Mania Sabtu lalu, Aufa menyampaikan lagu Gundah nyanyian Ernie Zakri untuk pusingan solo dan lagu Semua Jadi Satu untuk pusingan battle bersama Indah Ruhaila.