Peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli yang mewakili plaintif OWA Resources bagi kes pelanggaran kontrak perniagaan usahawan kontroversi, Nur Sajat untuk membekalkan produk bengkung dan girdle telah menerima kelulusan permohonan dari mahkamah bagi membuat lelongan awam kali kedua pada hari Rabu ini ( 22 Disember 2021 )
Mahkamah Lulus Lelongan Kedua
Perkara itu disahkan menerusi sebuah kenyataan media yang dikirimkan oleh firma pengurusan krisis Saiful Ridzuan Public Relations and Communications kepada pihak Murai.my sebentar tadi. Untuk rekod minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah meluluskan permohonan agar lelongan awam kali kedua dilakukan di rumah Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman di Premis No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
“Pihak firma guaman kami menerima pengisytiharan jualan yang dikeluarkan oleh mahkamah pada hari Khamis, 16 Disember lepas. Orang ramai yang ingin membeli senarai barang-barang yang akan dilelong bolehlah datang ke lokasi lelongan pada hari Rabu ini,” kata Nurul Hafidzah Hassan, peguam utama OWA Resources dari NHA Advocates & Solicitors.
Bawa Wang Mencukupi
Dalam pada itu, pihak peguam juga menyarankan pada mereka yang ingin membida pada hari lelongan tersebut untuk membawa wang yang mencukupi bagi memastikan bayaran terus boleh dibuat selepas proses pembidaan. Difahamkan, senarai barang-barang yang akan dilelong pada pukul 10.30 pagi itu adalah sama seperti lelongan yang telah dilangsungkan pada hari pertama lelongan, 14 Disember lalu.
Ia berikutan lelongan pertama sebelum ini telah gagal apabila seorang pembida, Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol yang membuat bidaan tertinggi sebanyak RM132,000 menghilangkan diri selepas memberi alasan keluar untuk membuat bank draf sejurus selepas sesi bidaan berakhir. Nurul Hafidzah juga memberi penjelasan proses lelongan kedua ini bagi menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar seperti diarahkan mahkamah kepada anak-anak guam iaitu Nurwati Husin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 daripada OWA Resources Sdn. Bhd. yang merupakan bekas stokis utama usahawan tersebut hanyalah wang saguhati kepada anak-anak guam.
“Objektif utama anak-anak guam mengambil tindakan undang-undang melalui kes saman sivil ini adalah bagi membersihkan nama mereka setelah dituduh menipu, memfitnah dan apabila satu laporan polis palsu telah dibuat oleh pihak defendan yang kononnya anak guam telah pecah amanah wang syarikat Muhammad Sajjad sebanyak RM1 juta,
“Selepas lebih daripada tiga tahun berjuang untuk kes ini di mahkamah, sistem kehakiman mendapati yang pihak plaintif tidak pernah menipu, memfitnah dan pecah amanah seperti yang didakwa oleh pihak defendan. Anak-anak guam tidak bersalah dan keadilan telah ditegakkan,” tambah Nurul Hafidzah.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berjaya membida kesemua 39 barang milik Sajat dalam lelongan di Kota Damansara. Bagaimanapun lelongan tersebut gagal selepas lelaki berkenaan yang juga dikatakan sebagai pembantu peribadi kepada seorang jutawan kosmetik telah menghilangkan diri.