Pelakon Ammar Alfian pada Isnin (1 November 2021) telah didenda sebanyak RM3,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Rosakkan Van POS Malaysia & Tumbuk Pemandu Van
Memetik laporan Kosmo!, Ammar didenda oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan khianat pada sebuah van jenis Toyota Hiace milik Pos Malaysia Berhad menggunakan kayu besbol dan menumbuk pemandu van tersebut,Muhammad Nur Aimin Mohd Noor, 31 pada April lalu.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu selepas pelakon filem Paskal tersebut mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. Sekiranya gagal membayar jumlah denda tersebut, mahkamah memerintahkan Ammar Alfian dihukum penjara dua bulan namun tertuduh membayar denda itu.
Difahamkan, mengikut pertuduhan pertama didakwa melakukan khianat dengan mengetuk pintu sebelah kanan kenderaan Pos Malaysia Berhad itu telah menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM777. Manakala, pertuduhan kedua, Ammar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Nur Aimin yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-keduanya.
Kedua-dua kesalahan yang dilakukan oleh Ammar berlaku di Jalan Budiman Cheras di sini pukul 1.45 tengah hari 5 April lalu. Bagi pertuduhan khianat, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara sebulan manakala pertuduhan mencederakan, Ammar didenda RM1,500 atau penjara sebulan.
Peguam Amar Rayu Hukuman Ringan
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.
“Tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang awam memandangkan dia seorang artis yang dikenali ramai,” katanya seperti dilaporkan portal akhbar tersebut
Bagaimanapun peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab, yang mewakili Ammar memohon hukuman ringan atas alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan kerugian yang dialami juga hanya sekitar RM700. Menurut peguam itu, dalam kejadian tersebut mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan.