Media tempatan malam tadi melaporkan sebanyak enam laporan polis telah dibuat berkaitan dengan kes yang dilakukan oleh penyanyi yang juga bekas bekas peserta sebuah rancangan realiti keagamaan pada 2016.
6 Laporan Polis Diterima
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat mengesahkan lima laporan diterima di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.
“Suspek yang tamat reman untuk kes pertama esok akan dipohon sambungan remannya bagi siasatan kes yang baharu diterima.
“Siasatan dijalankan di bawah kesalahan seksual seperti Seksyen 376 ( rogol), 354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) mengikut Kanun Keseksaan,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam
Seru Mangsa Untuk Buat Laporan
Dalam pada itu, Fadzil turut menyeru sekiranya terdapat lagi mangsa lain untuk tampil membuat laporan polis dan menasihati orang ramai untuk tidak merasa bimbang bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang penyanyi yang lebih dikenali sebagai pendakwah selebriti berusia 25 tahun telah direman lima hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, September tahun lalu.Suspek ditahan kira-kira jam 11 malam pada 26 September lalu selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.